Perjalanan dari Singapura menuju Jeddah memang meletihkan, tambahan dengan transit 2 jam di Mumbai. Disambung dengan 5 jam menuju Madinah. Ustaz Basit yang merupakan mutawwif kami membimbing kami membaca doa. Masih teringat ayat-ayatnya dalam telor Indonesia ; “Ibu2 Bapa2 , sama-sama kita bacakan Doa naik kenderaan, dan doa cepat sampai.” Kami pun mengikut setiap doa yang dibacakan. Dalam hati ada terdetik,"…Doa naik kenderaan ni memang selalu dengar masa anak2 baca sebelum perjalanan, tapi doa cepat sampai ni macamana pulak..tak pernah dengar pun." Ustaz pun menyambung dengan Doa cepat sampai, yang berbunyi:
"Bismika Allahumma Ahya Wa Amuut.". Laaaa....doa sebelum tidur rupanya.Kemudian katanya "Ya, kalau ibu-ibu dan bapa-bapa tidur, bila celik mata kita udah sampei.Jadi itulah doa cepat sampei." Berseloroh pula ustaz ni.Kami terlalu letih untuk ketawa, hanya sekadar tersenyum sambil melelapkan mata.
Keseluruhan perjalanan mengambil masa hampir 15 jam. Harapannya dapat solat Subuh di Masjid Nabawi, tapi tak berkesempatan kerana waktu Subuh di sana pada jam 4.07. Kami berhenti di R n R di lebuhraya, 40 km dari bandar Madinah.
Kami tiba di AlFayroz Shatta, Madinah pada jam 7.45 pagi. Syukur kerana akhirnya kami sampai ke destinasi. Penerangan Ustaz tentang pintu-pintu masjid didengar dengan teliti.Yang pastinya, pintu masuk ke masjid untuk lelaki berbeza dengan pintu untuk kaum wanita.Lelaki masuk melalui Babussalam, laluan Rasulullah s.a.w ke masjid Nabi, dan juga laluan menuju ke makam Rasulullah s.a.w. "Ingat, pintu 25, bu", sekadar mengingatkan ibu tentang nombor pintu supaya tidak tercari-cari. Ibu dan ayah dah cukup biasa dengan Masjid Nabawi, jadi kami tidak begitu bimbang kerana sentiasa ada guru-guru yang mahir bersama kami setiap masa. Hajah Jamilah pun tak berhenti-henti memberi panduan kepada jemaah wanita.
Melihatkan masjid yang begitu hampir dengan hotel, hati rasa ingin terus menziarahi makam Rasulullah s.a.w, namun adab masuk ke Masjid harus dipatuhi. Ini Masjid Nabi, masjid yang sangat istimewa.Mesti mandi bersih-bersih, pakai wangi-wangian.Alamak! Minyak wangi tak bawak! Sambil menunggu Hajah Jamilah menguruskan bilik hotel, kami sempat meninjau-ninjau duri-duri kecil di sekeliling hotel, untuk mencari minyak wangi. Duri-duri yang selalu membuatkan kami tersangkut dan berhenti untuk membeli. Begitu banyak duri di sekitar hotel, kiri, kanan, depan, seberang kanan, seberang kiri, seberang hotel yang di seberang dengan pelbagai tarikan, jubah, tasbih, cincin, jam tangan...semua ada. Masih terlalu awal untuk membeli-belah. Duri adalah istilah Ustaz Basit merujuk kepada kedai mahupun jualan-jualan di tepi –tepi lorong. Teringat kata-kata Prof. Kamil yang dia berdoa minta ditutupkan hati untuk bershopping." Ya! Allah! Aku datang semata-mata untuk beribadah, maka tutuplah hatiku daripada keinginan untuk bershopping, melainkan untuk yang benar-benar perlu, Ya Allah".
Setelah mendapat kunci bilik, kami membersihkan diri dan berehat seketika. Waktu Zuhur bermula jam12.15. Jadi, kami bercadang untuk ke Masjid jam 11."Nanti dah ramai orang", kata ibu. Jam 11 kami pun melangkah meninggalkan hotel, menuju ke masjid Nabawi. "Ingat ….niat I'tikaf", kata ibu setelah berdoa sebelum melangkah masuk masjid. Polis di pintu 25 memeriksa beg dan badan kami sambil bertanya" Mobile? Mobile?"..."Ma fi",saya menjawab."ma fi mobile'. Tidak boleh membawa handphone ke dalam masjid, apatah lagi kamera. Pemeriksaan agak ketat. Setelah berjaya masuk ke ruang dalam masjid, kami meneguk air zamzam sekadar membasahkan tekak, bimbang perlu ke tandas yang agak jauh dari masjid. Lepas solat aku nak minum banyak-banyak. Sekali lagi kata-kata Prof. Kamil tentang niat ketika minum air zamzam. ..."Ya Allah! Jadikanlah air ini penawar segala sakitku, dan kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepadaku Ya Allah”.
Ibu mendapat saf bersama-sama jemaah Hajah Jamilah yang lain. Saya meminta kebenaran untuk meninjau saf yang hadapan, mamandangkan banyak lagi waktu sebelum azan Zuhur. Hajah Jamilah pun selalu pesan ketika kami mengikuti kelas umrah di pejabatnya. Rebut saf yang pertama. Jangan solat di belakang. Ibu mengizinkan dan kami berjanji bertemu di pintu 25 selepas solat. Bermulalah adventure saya di Masjid Nabawi. Pertama, cari saf pertama. Jumpa. Mencari Raudhah. Tak jumpa. Pintu ke Raudhah dibuka pada waktu tertentu sahaja. Hendak bertanya, di kanan orang Arab, di kiri orang Pakistan…macam-macam orang pulak. Mana jemaah Malaysia ?Relax dulu. Balik nanti rujuk Hajah Jamilah. Walaupun terasa asing , hati tetap tenang. Ketenangan yang susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Istimewanya suasana di dalam Masjid Nabawi, mungkin kerana di sini bersemadinya Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment